JDT waspada bertemu Perak

KUALA LUMPUR: Jika prestasi semasa Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan bertembung di Stadium Perak malam ini menjadi ukuran, sudah pasti skuad Harimau Selatan dilihat akan pulang dengan mata penuh.

Mana tidaknya, skuad Benjamin Mora ketika ini sedang gah mendahului carta Liga Super manakala The Bos Gaurus pula masih hilang punca selepas ‘diligan’ dan tewas dua perlawanan berturut turut. Malah, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan Perak FC sebagai ‘bernasib malang’ apabila terpaksa bertemu JDT yang masih terpalit kekecewaan gagal meraih mata penuh apabila diikat Selangor FC (SFC) 1-1 di laman sendiri, Rabu lalu.

Namun, Azlan menegaskan jika anak buah Chong Yee Fatt itu berjaya menghalang pelawat daripada membawa pulang mata penuh dengan mendapatkan keputusan seri, itu sudah boleh dianggap sebagai satu kemenangan.

“Mana-mana pasukan yang menentang JDT dan berjaya mendapat keputusan seri, itu pun boleh dikira sebagai menang juga. Itu baru seri, kalau menang mungkin lebih besar maknanya.

“Tetapi berdasarkan di atas kertas dan prestasi semasa, saya lihat JDT ada kelebihan yang sangat besar meskipun bermain di tempat lawan. Bermain di tempat lawan menentang UiTM FC sebelum ini pun, mereka berjaya menang besar.

“Saya anggap Perak kurang bernasib baik kerana di saat mereka sedang mencatur strategi dan perancangan untuk bangkit, mereka perlu bertemu JDT yang pasti akan lebih garang kerana tidak mahu keciciran mata lagi,” katanya.

Dalam masa sama, Azlan mengakui rahsia untuk mengekang JDT sudah ditunjukkan oleh SFC pada aksi sebelum ini sekali gus Perak FC mungkin boleh mengambil ‘ramuan’ yang ada untuk melakukan perkara yang sama.

“Mungkin Perak FC boleh tengok apa yang dilakukan SFC ketika bertemu JDT tempoh hari dan ambil apa-apa maklumat yang boleh digunakan untuk perlawanan esok (malam ini),” katanya

sumber : berita harian