JDT RUGI

Iskandar Puteri: Akibat penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan saingan Liga Malaysia tertangguh sejak Mac lalu dan hanya disambung dengan saingan satu pusingan pada 22 Ogos lalu tanpa kehadiran penyokong, Johor Darul Ta’zim (JDT) kerugian RM35 juta pada musim ini.

Namun di sebaliknya kehilangan jumlah yang agak besar, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampak begitu tenang apabila bertindak pantas bagi memastikan kerugian berkenaan tidak menjejaskan perancangan JDT.

Malah dengan perancangan yang rapi walaupun terpaksa melakukan pemotongan gaji terhadap pemain dan kejurulatihan skuad Harimau Selatan, mereka tetap berdiri teguh bagi memastikan kejuaraan Liga Super untuk kali ketujuh berturut-turut milik JDT sertai Piala Sumbangsih.

“Pandangan saya, musim ini amat mencabar untuk kami tatkala berdepan masalah Covid-19 yang menjejaskan saingan liga sekali gus menggugat kewangan kelab dan ia adalah ujian paling besar buat JDT

“Situasi itu menyebabkan pada musm depan, kami perlu lebih lebih berhemah dalam perbelanjaan. Malah kami juga tidak membawa masuk pemain baharu, sebaliknya mengekalkan kesemua pemain dan mereka tidak meminta kenaikan gaji dan kekal dengan gaji sedia ada.

“Kami kerugian RM35 juta. Ia satu jumlah yang besar. Apapun pada musim depan saya berdoa agar ekonomi lebih baik dan kita berharap mendapatkan kembali apa yang kita hilang dalam satu atau dua tahun akan datang,” kata Tunku Ismail.

Berhubung perancangan nilai JDT yang disasarkan RM1 billion yang diumumkan pada 20 Disember, Tunku Ismail mengesahkan empat syarikat antarabangsa tampak berminat untuk mengadakan perbincangan namun enggan mendedahkan nama empat syarikat berkenaan.

Katanya, proses berkenaan sudah mencapai 80 peratus dan dijangka dimuktamadkan pada pertengahan tahun depan berbanding jangkaan dua tahun yang disasarkan.

“Saya bersyukur kerana kelab seperti JDT mula dikenali di peringkat antarabangsa dan ini akan membantu kami mencapai sasaran RM1 bilion,” kata Tunku Ismail.

sumber : harian metro