JDT II bernasib baik tundukan Perak II

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) terpaksa berhempas pulas sebelum bangkit mencipta kemenangan menewaskan Perak FC II (PFC II) 3-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Dalam pertembungan dua pasukan yang berstatus pasukan sokongan kepada JDT dan Perak FC, skuad kendalian Syamsul Saad turun tanpa kelibat pemain import memaksa barisan pemain Rafael Gil Sanchez bekerja keras sebelum mencatat kemenangan selepas dua kali ketinggalan.

Pelawat terlebih dahulu mencipta jaringan pada minit keenam selepas Adib Abdul Ra’of mudah menyepak masuk sepakan penalti menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Ia berpunca selepas Nafizuddin Fauzi mengasari Nazirul Aifi Ibrahim, menyaksikan pengadil, Khairulsyahmi Ahmad Khalidi tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti

Namun, jaringan itu tidak bertahan lama apabila tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-16 apabila Fernando Rodrigeuz menanduk masuk hantaran Nafizuddin sekali gus menewaskan penjaga gol, G Yuganes.

Tindakan berani Farid Khazali yang mengambil sepakan percuma di minit ke-38 pada jarak 25 meter nyata berbaloi selepas bola sepakan derasnya melencong tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Haziq yang tergamam di gawang sendiri.

Tuan rumah sekali lagi bangkit menyamakan jaringan pada babak kedua, selepas bola sepakan percuma kapten Nicolas Fernandez membuka ruang buat Feroz Baharudin melonjak tinggi untuk menanduk bola menewaskan Yuganes.

Ketika aksi memasuki minit ke-68, tuan rumah mencipta jaringan selepas bola lintang Fernandez tepat kepada Luis Cabrera yang tidak dikawal sebelum mudah menanduk masuk bola untuk skuad Merah Biru mendahului 3-2

sumber : berita harian