JDT BELUM CUKUP PANAS SEPENUHNYA

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) didakwa masih belum memanaskan enjin sepenuhnya selepas tidak berjaya meneruskan rentak kemenangan dalam dua aksi Liga Super sebelum ini.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menjelaskan dia belum melihat aksi sebenar yang dipamerkan pemain JDT sama ada dari segi individu mahu pun berpasukan selepas lima perlawanan awal musim ini.

Dia bagaimanapun menganggap kelemahan yang dialami JDT ketika ini adalah lebih baik daripada jika mengalami kemerosotan prestasi pada pertengahan atau penghujung musim.

“Lebih baik tak konsisten awal musim kerana masih ada masa untuk perbaiki menuju ke pertengahan hingga habis musim. Memang jelas JDT masih belum capai tahap yang sebenarnya, baik individu mahupun berpasukan.

“JDT belum pamerkan aksi terbaik, tapi masih lagi berada di puncak liga, jadi tiada sebab untuk meragui atau bimbang, tiada sebab untuk panik.

“Pada pendapat saya, saya sudah melihat yang terbaik dari TFC (Terengganu FC) dan KDA (Kedah Darul Aman FC) tetapi masih lagi tidak boleh mengatasi kedudukan teratas. Jadi, mereka rugi tak ambil peluang untuk berada di atas kerana kita tahu yang JDT akan meningkat.

“Kalau nak juara liga sepatutnya kena ada 15 mata selepas lima perlawanan, itu untuk pasukan lain, JDT tak perlu kerana permulaan perlahan, tiada masalah mereka akan meningkat,” katanya.

JDT yang juga juara tujuh kali berturut-turut Liga Super kini mengumpul 11 mata selepas lima perlawanan, hanya satu mata di depan TFC dan KDA yang menghuni kedudukan kedua dan ketiga.

Selain itu, Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby turut mengingatkan pemain JDT supaya tidak berkelakuan mengikut emosi seperti tindakan Natxo Insa yang menolak pengadil ketika aksi berdepan Perak, Ahad lalu.

“Ada banyak ruang lagi untuk JDT perbaiki persembahan, cuma satu sahaja emosi pemain itu kena kawal. Prestasi saya tak bimbang, tapi emosi kena jaga.

“Jangan tunjuk emosi negatif. Pemain jangan cepat melatah, tengok pemain terbaik, kalah menang pun tetap tenang dan biasa,” katanya.

sumber :BH