JDT BAHAYA JIKA SELANGOR JADI HANTU

Bagi bekas ketua jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, beliau menyifatkan JDT mempunyai 70 peratus peluang untuk meraih kemenangan ke atas Selangor.

“Kalau kita tengok kepada keputusan itu (tiga perlawanan awal musim ini) sudah menceritakan segalanya. Tiga perlawanan tanpa bolos, itu mencerminkan betapa mantap pasukan JDT.

“Tapi kita tak boleh kata juga kalau Selangor ‘naik hantu’ malam esok (ini), kita tak tahu. Namun dengan perlawanan yang begitu padat, pada saya jurulatih tidak cukup masa untuk perbaiki keadaan (pasukan).

“Apa yang dapat dilakukan jurulatih sama ada mengubah taktikal atau menukar pemain yang tidak memberikan persembahan terbaik dengan harapan nasib menyebelahi mereka, macam Selangor juga mereka perlu harap nasib.

“Tapi macam JDT ini kita tak tahu kekuatan sebenar mereka kerana semua posisi mantap. Kekuatan pemain utama dan simpanan juga seimbang.

“Jadi ketiadaan Safawi Rasid (akibat kecederaan) tidak mencacatkan JDT kerana mereka ada ramai pemain simpanan yang bagus seperti Mohamadou Sumareh,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

JDT kini berada di puncak Liga Super selepas mengumpul sembilan mata, manakala Selangor di kedudukan keempat dengan empat mata.

Selain itu, Wan Jamak turut menganggap jurang kekuatan antara dengan pasukan lain sangat jauh, kecuali Terengganu FC (TFC) yang menunjukkan prestasi konsisten musim ini.

“Selangor pula dalam keadaan kurang baik ketika ini, jadi percaturan terbaik perlu dilakukan jurulatih mereka untuk mengimbangi pasukan JDT,” katanya.