Ismail akui hukuman ke atas Hindle memadai, adil

KUALA LUMPUR: Ketika ada beberapa pihak yang mempertikaikan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas Jack Hindle yang disifatkan terlalu ‘baik hati’, namun jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria berpandangan sebaliknya.

Bekas jurulatih Kuala Lumpur dan UiTM FC itu mengakui amaran keras yang diberikan kepada pemain Kelantan FC itu sudah cukup memadai memandangkan tindakannya menolak pengadil perlawanan berlaku dalam keadaan spontan.

“Saya tahu banyak pandangan mengenai perkara ini kerana setiap orang ada sudut pandangan yang berbeza. Tetapi kita perlu lihat insiden itu secara menyeluruh di mana pemain itu menolak pengadil secara spontan kerana mahu mendapatkan bola.

“Jadi kita boleh katakan dia tidak ada niat untuk mengasari pengadil sebaliknya mahu mendapatkan bola walaupun pengadil berada pada posisi yang kurang tepat. Untuk itu, saya berpandangan amaran keras sudah cukup adil dan diharapkan dia tidak akan mengulangi perkara itu pada masa akan datang.

“Ini berlainan dengan kes membabitkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa. Pemain itu jelas menolak pengadil selepas perlawanan tanpa sebab yang munasabah. Dalam kes ini, Natxo memang patut dikenakan hukuman lebih berat,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu mengumumkan hukuman amaran keras dikenakan ke atas Hindle kerana menolak pengadil hingga terjatuh dalam aksi Liga Perdana, 6 Mac lalu.

Bagaimanapun, bentuk hukuman itu menimbulkan spekulasi kerana Natxo berkemungkinan menerima hukuman yang sama dengan Hindle atas tindakannya menolak pengadil, Noor Azriel Baharudin ketika pasukan itu bertemu Perak FC.

Keputusan FAM itu dianggap tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan dengan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah menyifatkan pemain itu sepatutnya digantung kerana kesalahannya adalah serius berikutan membabitkan keganasan ke atas pengadil.

Malah, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh pula menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas Hindle sebagai melucukan.

Enggan mencadangkan bentuk hukuman yang patut diberikan, beliau berkata, FAM sepatutnya mengikut garis panduan daripada FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta merujuk bentuk hukuman yang diambil sebelum ini.

sumber : BH