HILANG TUMPUAN PUNCA PERAK TUMBANG

KUALA LUMPUR: Hilang fokus menjadi antara masalah yang dihadapi Perak FC hingga mereka gagal mendapatkan keputusan lebih positif dalam dua perlawanan terakhir Liga Super.

Perkara itu diakui ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt yang turut menyifatkan masalah sama turut menjadi punca pasukannya tewas 0-3 di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City), semalam.

Dia berkata, kekalahan besar itu juga pasti akan menjejaskan keyakinan pemain untuk menghadapi aksi getir berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang sendiri, Ahad ini.

“Saya fikir gol pertama dan kedua (KL City) kerana kami hilang tumpuan. Pada babak pertama kami ketinggalan satu gol dan berharap dapat bangkit, tapi kami dibolosi gol kedua yang terlalu awal pada babak kedua.

“Pemain saya tidak terlalu teruk, tapi ini berkaitan konsisten, kami memerlukan fokus dalam 90 minit. Beberapa keadaan selepas beberapa perlawanan kami berdepan perkara sama, hilang fokus,” katanya selepas perlawanan.

Perak yang hanya menang sekali, seri sekali dan tewas dua kali dalam empat perlawanan awal kini menduduki tangga ke-10 dengan empat mata, manakala KL City di kedudukan ketiga selepas mengumpul tujuh mata.

Sementara itu, pengendali KL City, Bojan Hodak menjelaskan pasukannya memerlukan sekurang-kurangnya 17 mata lagi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan untuk musim ini.

“Tiga mata (malam tadi), sekarang kami mengumpul tujuh mata dan sasaran kami awal musim untuk kekal berada dalam liga. Kami fikir memerlukan sekitar 24 atau 25 mata, sekarang kami ada tujuh mata, jadi 17 mata lagi.

“Kalau anda lihat semua perlawanan, ini yang lebih baik. Pertahanan beraksi dengan sangat baik, Dominique Da Sylva dan Romel Morales tidak menjaringkan gol (sebelum ini) tapi malam ini mereka mula jaringkan gol, jadi saya harap mereka teruskan (prestasi terbaik),” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN