ANAK JATI KELANTAN MENERAJUI BARISAN SERANGAN HARIMAU MALAYA

KUALA LUMPUR: Walaupun berstatus pemain paling muda menyertai latihan skuad kebangsaan kali ini, namun Luqman Hakim Shamsudin tidak boleh dianggap sebagai budak hingusan dalam Harimau Malaya.

Baru berusia 19 tahun, Luqman hadir menyertai latihan bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe bukan dengan tangan kosong, sebaliknya membawa banyak ilmu di dada hasil perguruan kira-kira lapan bulan di Belgium.

Malah, Luqman mengakui lebih selesa meletakkan dirinya sebagai pemain muda dan bukannya bintang yang datang dari Eropah bagi mendapatkan lebih keyakinan berlatih bersama pemain senior.

“Sudah pasti ada perbezaan ketara (menyertai Harimau Malaya) sebab kita main dengan skuad B-19 terus ke pasukan kebangsaan, tapi saya rasa beruntung sebab sebelum ini saya berlatih dengan KV Kortrijk.

“Jadi, saya dapat serasi dengan pemain yang lebih berusia. Bagi saya pasukan kebangsaan sama dengan permainan Eropah, dia bermain dengan pantas.

“Umur itu tidak penting, kalau umur 19 tahun pun, jika dia boleh ikut permainan pasukan senior, Insya-Allah boleh dan selain itu terpulang kepada jurulatih.

“Bagi saya umur tak menghalang kita untuk bermain, hanya perlu matang dalam permainan dan latihan. Sebelum ini pun saya pernah bermain dalam Sukan SEA, jadi bagi saya tiada masalah. Mereka (pemain) semua baik dan profesional,” katanya, semalam.

Tanpa aksi persahabatan untuk kem latihan kali ini, Luqman hanya perlu membuktikan kemampuannya dalam latihan bagi memastikan namanya tersenarai bagi skuad yang akan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun depan.

Selain itu, Luqman turut mendedahkan bahawa pemakanan menjadi rahsia dia berjaya membentuk fizikal lebih sasa atau ‘sado’.

Pemain yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu bagaimana menegaskan dia mahu meningkatkan lagi bentuk fizikalnya untuk bersaing dengan pemain di Eropah yang memiliki fizikal lebih besar.

“Perubahan (fizikal) ini beri kebaikan untuk saya sendiri, dekat sana (Belgium) fizikal (pemain) mereka besar. Kalau saya kurus sahaja, nanti saya kena langgar.

“Jadi, ini kebaikan untuk saya melawan pasukan di Eropah. Sekarang ini saya nak tingkatkan lagi otot saya, sebab kalau dekat sana saya yang paling kecil.

“Saya makan makanan yang terjaga, sarapan dan makan tengahari disediakan oleh pasukan, malam sahaja saya makan sendiri. Saya amalkan makan daging, ayam, ikan, sayuran dan makanan seperti spaghetti, itu saja saya amalkan,” katanya.

sumber :BH