AFC enggan masuk campur keputusan FAM

KUALA LUMPUR: Adakah pemain di Liga Malaysia (Liga M) boleh dianggap beruntung kerana sekali pun melakukan kekasaran dengan menolak pengadil, mereka hanya diberikan amaran keras dan peringatan supaya tidak mengulanginya lagi?

Ini kerana jika kesalahan sama dilakukan di perlawanan kelolaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) penggantungan dan denda pasti menanti seperti pernah dikenakan ke atas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias.

Penjaga gawang kebangsaan itu digantung setahun dan denda AS$40,000 (RM164,000) oleh badan induk itu atas tindakannya yang mengasari pengadil ketika aksi Piala AFC 2017 apabila didapati menolak Fu Ming dari China ketika bertemu Ceres Negros di Bacolod City, Filipina.

Bukan setakat itu, beberapa pemain terkemuka dunia juga pernah dikenakan hukuman berat atas kesalahan menolak pengadil seperti pemenang Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo yang digantung lima perlawanan, Gelson Martins (enam bulan) dan Franck Ribery (tiga perlawanan).

Jadi, persoalannya mungkinkah FAM selaku badan induk terlalu ‘baik hati’ dalam memberikan hukuman kepada pemain ataupun mereka tidak mengikut standard yang ditetapkan oleh AFC?

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menegaskan pihaknya tidak akan masuk campur dengan pendekatan yang diambil ahli gabungan mereka dan terpulang kepada pihak terbabit untuk menentukan bentuk hukuman yang wajar.

Namun, Windsor mengakui standard badan induk itu sememangnya tinggi dalam memberikan hukuman, sekali gus tidak menjadi masalah jika ada ahli gabungan yang mahu mengambil pendekatan sama.

“AFC ada tatacara sendiri untuk mengendalikan kes membabitkan keganasan terhadap pengadil atau pegawai. Kalau AFC tidak melindungi pengadil, jadi siapa yang akan melindungi mereka?

“Cuma dalam kes ini, kita tidak bolehlah ulas kerana keputusan sudah ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang juga adalah satu badan bebas. Ini ibarat kita mahu mengulas keputusan sesuatu mahkamah.

“Sebab itulah kita tidak boleh bandingkan bentuk hukuman AFC dan dalam kes ini, dengan FAM. Terpulang kepada badan bebas mereka untuk menentukan bentuk hukuman yang difikirkan wajar.

“Ada had minimum dan maksimum dalam penetapan sesuatu hukuman sama seperti yang ada di mahkamah juga. Standard AFC memang tinggi (dalam tentukan hukuman) jadi kalau ada yang mahu ikut, itu sangat baik,” katanya.

 

sumber : BH