13 pemain JDT dominasi Harimau Malaya

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi senarai yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang akan diadakan di bandar raya ini bermula 22 hingga 30 Mac ini.

Bintang muda Harimau Selatan, Ramadhan Saifullah Usman mendapat panggilan pertama bersama skuad senior kebangsaan untuk mengetuai senarai 13 pemain JDT.

Seramai 12 lagi yang tersenarai ialah penjaga gol, Farizal Marlias serta empat pemain pertahanan iaitu Matthew Davies, Aidil Zafuan, Adam Nor Azlin dan Corbin Ong serta penyerang, Syafiq Ahmad.

Turut disenarai pemain tengah, Mohamadou Sumareh, Daniel Amier, Syamer Kutty, Afiq Fazail, Nazmi Faiz dan Akhyar Rashid.

Pemilihan ini sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Perlawanan yang akan diadakan secara berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyaksikan Malaysia dijadual bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti perlawanan menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, kemudahan lengkap yang dimilik JDT menjadi faktor utama kem latihan pusat kali ini diadakan di daerah ini.

Katanya, pusat latihan JDT juga memiliki pusat kecergasan dan perubatan sendiri yang dapat memenuhi keperluan untuk latihan diadakan dalam pelbagai jenis permukaan padang selain terletak berdekatan dengan hotel penginapan pasukan.

“Kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini pastinya akan dapat membantu kami untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik bagi menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan memandangkan JDT memiliki kemudahan pusat latihan bertaraf dunia.

“Pusat latihan mereka merupakan sebuah pusat latihan berprestasi tinggi dan sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang terbaik dapat dihasilkan oleh skuad kebangsaan kerana persiapan bagi tiga perlawanan terakhir ini cukup penting.

“Dengan mengambil kira pandemik Covid-19 yang telah mengganggu persiapan kami, skuad Harimau Malaya sudah tentu memerlukan setiap kelebihan yang ada dalam persiapan yang cukup singkat ini dan semuanya dapat kami lakukan di pusat latihan yang serba lengkap ini,” ujar Cheng Hoe.

Pengendali berusia 53 tahun itu turut menjelaskan bahawa tempoh sembilan hari bagi kem latihan pusat kali ini penting untuk meningkatkan semula persefahaman para pemainnya sama ada di dalam dan juga di luar padang.

“Ini masa terbaik untuk kami fokus terhadap persiapan pasukan kerana apabila kami berkumpul pada Mei nanti, kita dah tak ada banyak masa untuk latihan kerana perlu fokus dengan persiapan tiga perlawanan terakhir kelayakan,” katanya.

SUMBER : UTUSAN ONLINE