5 TIP SURVIVAL KEWANGAN FASA PKP 2.0

Dah nak seminggu kita memasuki fasa Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan Darurat. Masa PKP yang pertama bulan Mac 2020 yang lalu, ianya cukup memeritkan poket kewangan kita.

Seorang sahabat saya (cerita sebenar) terpaksa menjual kereta kesayangan dan 2 biji kamera yang beliau ada. Beliau merupakan seorang jurugambar untuk majlis keramaian seperti majlis perkahwinan.

Bila berlakunya PKP, kerja pun takde. Jadi terpaksa menjual aset yang ada.

Oleh itu, jom kita tengok 5 Tips Survival Kewangan untuk mengharungi fasa PKP 2.0 ini.

1. Pastikan Tabung Kecemasan Mencukupi
Tabung kecemasan sepatutnya kena ada minima 3 bulan gaji. Kalau tak cukup, boleh ambil daripada KWSP melalui i-Sinar. Tapi duit yang diambil itu bukan untuk boros atau pelaburan nak cebur bidang baru, tetapi adalah untuk kegunaan pada waktu kritikal ini.

Menceburi bidang baru adalah sesuatu yang berisiko tinggi kerana kita tiada pengalaman, ilmu dan kemahiran yang cukup. Jadi kita berisiko besar untuk rugi. Sedangkan pada saat-saat begini, kalau boleh kita nak meminimakan sebarang kerugian.

Namun, bukan lah saya nak katakan jangan ceburi langsung bidang baru. Boleh dan amat digalakkan sebagai ikhtiar baru, tapi elakkan menggunakan modal besar. Fokus kepada perniagaan atau kerjaya yang memerlukan kos yang minima.

2. Semak Semula Aliran Tunai
Kita kena pastikan aliran tunai tunai semasa adalah positif, positif dan positif. Aliran tunai positif bermaksud kita mempunyai lebihan gaji. Sebagai contoh, pendapatan kita RM6,000 sebulan tetapi jumlah perbelanjaan kita cuma RM5,000. Ini bermakna kita ada lebihan sebanyak RM1,000.

Kalau boleh pada waktu kritikal ini, pastikan perbelanjaan kita serendah yang mungkin. Ini kerana kita tak tahu lagi sama ada kita akan terus dapat bekerja dan seberapa lama duit yang kita ada sekarang dapat bertahan.

3. Jangan Berhenti Ambil Takaful
Ini kesilapan paling besar orang ramai buat bila terdesak duit. Kita beranggapan takaful tak perlu sebab ini adalah satu manfaat yang kita tak nampak depan mata. Tapi kita kena ingat, musibah adalah satu perkara ghaib yang kita semua tak tahu. Bila dah terkena, memang menyesal tak sudah.

Saya ada satu kes yang saya sendiri alami. Masa saya di dalam tahun akhir perubatan, ada seorang pesakit yang saya jaga masuk hospital kerana perlu menjalani pembedahan hempedu. Pada masa itu, ianya merupakan pembedahan kedua buat beliau. Asalnya beliau mempunyai takaful perubatan, tetapi berhenti kerana perlukan duit dan merasakan tak perlu sebab tak pernah claim.

Dalam 3 bulan selepas pelan takaful tu berhenti, beliau pun mengalami kemalangan. Masa tu mak ayah dia jual tanah kerana biaya pembedahan dia. Ingat kan semua akan selesai, rupanya tak selesai. Kali ini terpaksa pula menjalani pembedahan kedua. Duit dah takde dan harta pun dah takde. Mahu tak mahu, kena tunggu giliran di hospital kerajaan.

Jadi macam mana nak buat kalau kita betul-betul perlukan duit?

Semak semula pelan takaful kita. Cuba kurangkan manfaat yang tak kritikal. Kalau ada elemen pelaburan, berhenti dulu buat ketika ini. Fokus kepada perlindungan yang betul-betul diperlukan saja.

Kalau tak tahu, cuba dapatkan khidmat Financial Adviser untuk semak semula pelan takaful anda.

4. Buat Peniaga, Ambil Peluang Untuk Digitalkan Perniagaan
Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) banyak menawarkan program membantu usahawan mendigitalkan perniagaan seperti eMarketplace: Jual Produk Anda Secara Online, Tembusi pasaran orang muda dengan Tiktok, Digital Poster for Online Sales and Marketing, Teknik Pemasaran Youtube dan macam-macam lagi.

Kos bagi setiap kursus ada yang serendah RM50 saja.

5. Dapatkan Nasihat Kewangan Profesional
Kalau masalah berkaitan aliran tunai dan hutang, boleh dapatkan khidmat Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK). Perkhidmatan yang mereka tawarkan adalah percuma. Cuma ia terhad kepada pengurusan aliran tunai dan hutang.

Untuk khidmat yang lebih komprehensif, dapatkan khidmat perancang kewangan berlesen tetapi perkhidmatan mereka berbayar.

Ditulis oleh Hanif Yahaya. Seorang perancang kewangan yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan penasihat kewangan yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia. Beliau juga adalah pelajar terbaik Shariah Registered Financial Planner (ShRFP). Berpengalaman memberi khidmat nasihat kewangan individu dan korporat. Boleh hubungi beliau di drhanifyahaya@yahoo.com. Follow channel telegram untuk mendapatkan informasi terkini di https://t.me/drhanifyahaya

SUMBER MAJALAH LABUR