Misi getir JDT benam Penang FC

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terpaksa memerah keringat menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada aksi Rabu lalu, bakal menempuh sekali lagi ranjau berliku apabila berdepan Penang FC (PFC) di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam esok.

Apa yang mencabar buat skuad kendalian Benjamin Mora sudah tentu berdepan 90 minit perlawanan yang dianggap sukar tatkala menentang skuad bimbingan Tomas Trucha yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Mora juga tidak menafikan ia ujian getir buat barisan pemain dan dirinya untuk berdepan skuad Haria Penang Haria yang sudah menunjukkan aksi konsisten sejak kebelakangan ini dengan membelasah UiTM FC 5-0 namun tewas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 1-3.

“Sudah tentu kami berdepan tugas rumit tatkala bertanfang ke Pulau Pinang yang bermain baik sejak kebelakangan ini, Walaupun mereka kalah ketika menentang menentang KL City FC, itu bukan ukuran kerana mereka akan tampil lebih mantap.

“Justeru, kita kena fokus dan bersedia memberi persembahan terbaik untuk membawa pulang tiga mata sebelum saingan liga berehat seketika. Kami tidak mahu keciciran mata kerana jurang mata antara Penang FC, KDA FC dan Terengganu FC (TFC) begitu rapat.

Walaupun kami pernah tewaskan Penang FC 2-0 pada aksi pusingan pertama, namun rekod kemenangan itu tidak boleh diambil kira kerana saingan pusingan kedua tampak lebih sengit dan kami harus lebih berhati-hati,” kata Mora

Untuk aksi yang ke-12, Mora kemungkinan membuat rombakan kecil berikutan kecederaan yang dialami Gonzalo Cabrera dan pemain itu bakal tidak beraksi dalam kesebelasan utama, selain kecederaan yang turut dialami Mauricio Nascimento.

Apapun, benteng JDT harus berjaga-jaga dengan kelibat Casagrande yang sudah mula berbisa apabila menemui sentuhan penyudah selain kelicikan Al-Hafiz Harun yang mampu mengucar-kacirkan benteng skuad Harimau Selatan.

Kelibat Bergson Da Silva pasti menjadi taruhan buat JDT selaku tonggak utama barisan serangan bagi memburu kemenangan dan ia penting membawa pulang tiga mata sebelum saingan liga berehat dan akan disambung Julai ini.

sumber : Metro Arena