Bukan sebab nasib Selangor rantai JDT – Khalid

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Khalid Ali tidak menganggap kejayaan Selangor FC mencuri satu mata dari gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim kerana faktor nasib.

Ia selepas beberapa pihak menganggap Red Giants bernasib baik berjaya mengikat Harimau Selatan 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin kerana JDT gagal menyudahkan dua sepakan penalti yang diambil Gonzalo Cabrera dan Bergson Da Silva.

Sebaliknya, Khalid menganggap Selangor melakukan persiapan rapi untuk perlawanan itu selain dibantu dengan persembahan cemerlang penjaga gol, Khairul Azhan Khalid terutama berjaya menyelamatkan sepakan penalti Da Silva pada babak kedua.

“Tak ada (bukan sebab nasib), Selangor sudah melakukan persiapan. Kita juga kena tengok penjaga gol, bukan yang melakukan sepakan (penalti).

“Maknanya penjaga gol itu sudah bersedia dengan langkah dia dan penendang itu terkeliru. Sebenarnya satu peratus sahaja (peluang) ada pada penjaga gol (menyelamatkan penalti),” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Selain itu, Khalid menyifatkan aksi yang dipamerkan Selangor membuktikan pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M) boleh menggugat kekuatan JDT sekiranya dapat memberikan fokus 100 peratus dan membuang sifat takut atau kurang keyakinan.

Beliau bagaimanapun tetap mengakui JDT masih pasukan yang sukar dikalahkan kerana memiliki kekuatan yang mampu menggugat kelab dari Asia Tenggara dan Asia.

“Kita nampak sekarang ini bukan tak boleh nak menggugat JDT. Bila anda ada semangat dan kepercayaan kepada diri sendiri serta bekerjasama 100 peratus, anda boleh (lawan JDT).

“Tapi kalau anda kurang 10 peratus sahaja, anda akan kalah dengan JDT. Anda tak boleh kurang satu posisi pun, kerana kalau anda bermain 90, 95 peratus, anda akan kalah.

“Nak menang (dengan JDT) kemungkinan susah sikit, tapi kalau nak menggugat seperti Selangor dapat seri, saya rasa tiada masalah. Saya sudah cakap hanya Selangor dan mungkin Pahang yang boleh menggugat JDT dengan syarat mereka kena betul-betul fokus.

“Dulu kalau Selangor jumpa JDT, JDT akan rasa hilang kepercayaan, tapi sekarang jadi terbalik siapa saja jumpa JDT dia akan jadi bermasalah termasuk dari segi tahap keyakinan,” katanya.

sumber : berita hariaan